Sunday, August 15, 2010

PENGENALAN

Ibadah Dalam Islam

                   Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan Konsep dan amalan-amalan lain-lain agama atau kepercayaan. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia , terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang yang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih dan dibuat khas untuk tujuan ini, tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima. 

                  Konsep-konsep seumpama ini tidak ada tempat langsung di dalam syariat Islam. Namun demikian, pengaruh konsep asing ini dapat juga menyerap ke dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam. Oleh itu timbullah berbagai tanggapan terhadap ibadah, ada yang menganggap ibadah itu tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja, terdapat juga mereka yang mengaku beribadat kepada Allah tetapi ubudiah mereka juga diberikan kepada selain dari Allah. Malah ada yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu sama sekali tidak ada kaitannya dengan urusan masyarakat terutama di bidang politik.

                Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepada Allah dan klimak dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabdian diri. . Islam telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa sekali di dalam Al-Quran .Dijelaskan seluruh jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk tujuan ini. Islam juga telah memberi pengertian yang luas terhadap ibadah. Tegasnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini dapat ibadah dan taat kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah :[surah Az Zuriai 50 57]

Maksudnya :

"Dan Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku"